BERUBAT , BERIKHTIAR , BERTAWAKKAL

BERUBAT DISURUH AGAMA


Petikan dari Buku 'Bestseller' Dr. Danial: Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden.
Buku Ini Menjadi Finalis Anugerah Media Islam Nasional 2006 :

Walaupun kesemua perkara ditentukan oleh Allah, berikhtiar dengan pelbagai cara untuk merawat penyakit amat digalakkan oleh agama. Ia tidak bercanggah dengan konsep tawakal.Seorang sahabat pernah bertanya kepada Nabi Muhammad: “Adakah aku tambat binatang dan aku bertawakal ataupun aku lepaskannya dan aku bertawakal?” Jawab Rasulullah: “Tambat dan bertawakal.” (Riwayat Tirmizi)Justeru, seseorang yang menghidap sesuatu penyakit digalakkan untuk mencari ubatnya dan tidak hanya berserah kepada nasib dan takdir. Mengikut sebuah riwayat dari Usamah ibn Syuraik, beliau berkata: “Aku berada di sisi Rasulullah, tiba-tiba datanglah beberapa orang Arab Badwi dan mereka berkata: ‘Ya Rasulullah adakah kami diizinkan berubat?’ Rasulullah bersabda: ‘Wahai hamba-hamba Allah, berubatlah kerana sesungguhnya Allah tidak meletakkan sesuatu penyakit melainkan Allah meletakkan ubat untuknya kecuali satu sahaja!’ Mereka bertanya: ‘Apakah itu ya Rasulullah?’ Nabi Muhammad bersabda: ‘Penyakit tua’.” Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Ahmad, Abu Daud, Ibn Majah, An-Nasai dan Tirmizi.Rasulullah juga turut berikhtiar sebagai contoh dengan berbekam, sedangkan Baginda merupakan manusia yang paling bertawakal kepada Allah. Selepas seseorang berikhtiar, hendaklah dia bertawakal dan berserah kepada Allah kerana Dialah sebenarnya yang menyembuhkan segala penyakit.